Sunday, July 15, 2012

Letakkan dunia di tanganmu



Dunia adalah kesenangan yang menipu

Assalamualaikum salam sejahtera kepada semua sidang pembaca sekalian. Semoga anda dalam keadaan sihat wal afiat. Jika anda kurang sihat saya doakan Syafakallah,semoga Allah menyembuhkan penyakit anda.  Ingin saya melontarkan persoalan pada entri kali ini, pernahkah anda menghadapi keadaan di mana anda dibentangkan kemewahan dunia dan seisi-isinya? Anda memiliki wang yang banyak, makanan yang lazat-lazat, tempat tidur yang empuk, kenderaan yang hebat, pasangan yang cantik atau segak bergaya, anak-anak yang comel dan bijak serta lain-lain kesenangan?

Bagaimana anda ketika itu???

Sahabatku, seharusnya, apabila dibentangkan dunia di hadapan kita, kita kembalikan rasa memiliki itu kepada pemilik yang Agung dan seringkali mengingatkan diri kita bahawa apa yang kita ada hanyalah pinjaman sementara termasuk diri kita sendiri. Sampai waktu dan ketikanya apa yang kita ada perlu dipulangkan kembali kepada Allah s.w.t. 


Perlu sentiasa sedar bahawa hidup kita di dunia ini sementara sifatnya. Di dunia inilah tempat kita menyediakan amal buat bekal menghadapi kesukaran hari akhirat kelak. Jadi, ayuh kita cuba menjadikan kesenangan dunia yang berada di tangan kita, ditransformasikan menjadi pahala. Misalnya, duit yang kita ada, kita didik diri kita untuk bersedekah atau beramal jariah. Jika kita memiliki makanan, kita didik diri kita untuk memberi kepada jiran-jiran dalam rangka merapatkan silaturrahim. Mungkin juga kita memiliki anak-anak yang comel, kita didik diri kita memberi pendidikan yang baik dalam rangka memperkenalkan mereka pada keindahan Islam. Kesemua amal kebaikan ini menjadi saham kepada kita untuk mendekat kepada syurga dan menjauh dari bakaran api neraka. 

Dunia bukan letaknya di hati

Sahabat sidang pembaca sekalian,
Awaslah dari dunia, kelihatan indah di mata namun di dalamnya penuh dengan tipudaya dan muslihat. Jika kita mengejarnya, kita tidak akan pernah berasa cukup dengan apa yang kita sedia miliki. Ambillah dunia sekadarnya dan kejarlah akhirat. Firman Allah di dalam surah al-Qasas ayat 77:

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.

Berpada-padalah dengan dunia agar diri kita menjadi orang yang beruntung. Letakkanlah dunia di tangan bukan di hati. Apabila tiba waktu untuk menunaikan solat, bersegeralah mendirikan solat, usah biarkan diri kita terbuai dengan kesibukan dunia. Samada disibukkan oleh kerja mencari nafkah, menonton televisyen, membeli belah atau bergurau senda dengan keluarga, kita tinggalkan sebentar untuk mendirikan solat. Apabila berpeluang untuk melakukan kebaikan, bersegeralah lakukannya kerana biasanya peluang melakukan kebaikan tidak sentiasa hadir dalam hidup kita. Sahabatku, jangan tunggu lagi, mari kita orak langkah sekarang membuat perubahan dalam diri kita !!! Mesti mau cuba ya :)


Yang Sentiasa Mengingati,
~Sehijauwarnadaun~







No comments:

Post a Comment