Wednesday, December 28, 2011

Apabila kamu berazam..




Bulatkan tekad, kuatkan semangat untuk melakukan sesuatu yang kita rancang. Tugas kita sebagai hamba adalah berusaha. Usah diragui akan natijahnya, tetapi apabila kita berazam yang seterusnya hendaklah kita bertawakkal kepadaNya. Kita merancang, Allah merancang dan perancangan Allah adalah sebaik-baiknya.

Tuesday, December 13, 2011

Siapakah yang kita cinta sebenarnya?

Jika kita cintakan seseorang, kita tentu akan menyebut-nyebut kebaikannya kepada orang lain. Jika kita sayang seseorang kita tentu akan berasa untuk duduk bersama-samanya dan menghabiskan waktu bersamanya. Kita pasti akan bersedia untuk mendengar luahan kata-kata cinta orang yang kita cinta. Tentu saja kita juga bersama-sama berkongsi rasa dengannya. Jika sehari tidak bertemu sudah cukup menerbitkan rasa rindu yang tidak bertepi. Jika dia hilang dari kita tentu kita merasakan dunia ini bukan milik kita lagi dan kita bertanya -tanya mengapa ini semua terjadi? Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain?

Mengapa kita tidak terfikir untuk menggantungkan perasaan cinta kita itu kepada Pemilik Cinta Yang Maha Agung? Cinta yang tiada batasan kepada hamba-hambaNya. Cinta yang tidak akan terhapus dan padam dari kita, kekal selamanya. Bukankah jika kita cintakan bunga, bunga akan layu?, cinta manusia, manusia akan pergi? dan cinta Allah lah yang kekal selamanya. Tepuklah dada tanyalah iman, siapakah yang sepatutnya kita cinta?




 

Thursday, December 8, 2011

Penawar hati yang resah

Melalui hari - hari yang sukar di zaman ini, seringkali kita kebingungan apabila kita berada dalam situasi resah gelisah. Kepada siapakah ingin kita khabarkan perasaan gundah itu? Kita sering khabarkan kesusahan kita itu pada manusia, sedangkan manusia pada hakikatnya tidak mampu berbuat apa-apa. Kita sering terlupa bahawa kita ada Allah. Dialah yang melorongkan jalan penyelesaian kepada kita. Dia jualah yang melapangkan perasaan kita yang sebelumnya sempit dan menyesakkan. Mohonlah kepadaNya yang Maha Kaya yang tidak memerlukan apa-apa dari manusia. Kenapa? Kerana Dialah satu-satunya tempat yang paling layak untuk kita memohon. Dialah yang paling layak untuk kita minta pertolongan.

Firman Allah dalam surah al-Fatihah ayat 5: "hanya kepada engkaulah kami menyembah dan hanya kepada engkaulah kami mohon pertolongan".

Adukanlah semua permohonan kita kepada Allah kerana Dialah yang paling mengetahui segala permasalahan kita. Bersimpuhlah di hadapannya, letakkanlah dahimu ditempat sujud dengan sepenuh kerendahan hati memohon maghfirah ampunannya, titiskan air matamu keranaNya, kerana Dialah penawar segala luka dihatimu itu. Yakinlah bahawa doamu pasti dimakbulkan, jika tidak didunia insyaallah di akhirat kelak menjadi pasti.