Sunday, November 27, 2011

Perjuangan merebut cinta Allah

Kehidupan seorang insan itu tidak sunyi dari pertarungan antara hak dan batil. Keduanya - duanya saling tarik menarik antara satu sama lain. Dibentangkan di hadapan seorang insan itu hak untuk memilih satu antara dua. Seperti yang terdapat di dalam surah asy - Syams ayat 8, maka Dia mengilhamkan kepada seseorang itu jalan kejahatan dan ketakwaan. Beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya.


Untuk menyucikan jiwa memerlukan kepada mujahadah iaitu mendidik diri dengan perkara yang nafsu tidak suka. Sebagai contoh, menyedikitkan makan atau menyedikitkan tidur atau menyedikitkan bercakap. Semua ini dilakukan secara sederhana dalam rangka mendekatkan diri kita dengan Allah.


Perjuangan merebut cinta dan kasih Allah bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kepada pengorbanan. Mana mungkin untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai tanpa melakukan pengorbanan. Tanyakan kepada diri kita sehingga saat ini, sejauhmanakah pengorbanan yang telah kita lakukan sebagai bukti kasih dan cinta kita kepada Allah? Jawapannya ada di tangan kita, maka kitalah yang perlu bertindak sekarang untuk merealisasikannya. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi?
So, let we begin now! 


Saturday, November 26, 2011

Hubungan dengan sang Pencipta

Kadangkala kita terlupa untuk memikirkan bahawa setiap saat dan hidup kita dihitung dan dikira oleh Allah. Kadangkala kita terlupa untuk bertanya diri kita apakah perbuatan sehari - hari yang kita lakukan itu Allah suka atau tidak. Tetapi apabila kita tersungkur berputus asa baru kita tersedar untuk mencari rahmat Allah. 

Apa yang terbaik adalah kita berusaha dari awal untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Mengapa? kerana Allah adalah sumber kekuatan mukmin. Allah adalah penawar bagi setiap permasalahan yang kita hadapi. Mohonlah padaNya kerana permohonan kita pasti dimakbulkan, jika tidak di dunia ini, insyaallah diakhirat doa kita kan diperkenankan.

  

Friday, November 25, 2011

Iman itu bertambah dan berkurang

Nikmat iman adalah nikmat yang terbesar dalam hidup seorang muslim. Tanpa iman, hidup seorang hamba Allah itu ibarat bangkai yang bergerak. Kehidupan yang tawar dan hambar.

Sepatutnya, seorang hamba Allah itu, menghargai iman yang Allah berikan dengan menjaga solat 5 waktu, memperbanyakkan membaca al-Quran, melaksanakan perkara yang Allah suka dan menghindari perkara yang Allah tak suka.

Maka hasilnya, kita akan dapati jiwa kita akan lebih tenang dan hati kita akan lebih bahagia untuk melalui kehidupan ini.