Thursday, December 8, 2011

Penawar hati yang resah

Melalui hari - hari yang sukar di zaman ini, seringkali kita kebingungan apabila kita berada dalam situasi resah gelisah. Kepada siapakah ingin kita khabarkan perasaan gundah itu? Kita sering khabarkan kesusahan kita itu pada manusia, sedangkan manusia pada hakikatnya tidak mampu berbuat apa-apa. Kita sering terlupa bahawa kita ada Allah. Dialah yang melorongkan jalan penyelesaian kepada kita. Dia jualah yang melapangkan perasaan kita yang sebelumnya sempit dan menyesakkan. Mohonlah kepadaNya yang Maha Kaya yang tidak memerlukan apa-apa dari manusia. Kenapa? Kerana Dialah satu-satunya tempat yang paling layak untuk kita memohon. Dialah yang paling layak untuk kita minta pertolongan.

Firman Allah dalam surah al-Fatihah ayat 5: "hanya kepada engkaulah kami menyembah dan hanya kepada engkaulah kami mohon pertolongan".

Adukanlah semua permohonan kita kepada Allah kerana Dialah yang paling mengetahui segala permasalahan kita. Bersimpuhlah di hadapannya, letakkanlah dahimu ditempat sujud dengan sepenuh kerendahan hati memohon maghfirah ampunannya, titiskan air matamu keranaNya, kerana Dialah penawar segala luka dihatimu itu. Yakinlah bahawa doamu pasti dimakbulkan, jika tidak didunia insyaallah di akhirat kelak menjadi pasti.