Thursday, February 28, 2013

Fail to Plan is Plan to Fail

Assalamualaikum sidang pembaca yang diingati sekalian,
Terima kasih kepada kalian kerana sudi meluangkan masa seminit dua untuk membaca entri tulisan saya kali ini.Jadi, untuk entri kali ini, ingin saya membawa pembaca sekalian tentang kepentingan mempunyai perancangan dalam sesuatu perkara yang ingin kita lakukan. Tanpa perancangan menyebabkan sesuatu perkara yang ingin kita capai sukar untuk menjadi realiti. Merancang bukanlah satu perkara yang mudah kerana memerlukan kita mengerah otak dan akal pemikiran kita supaya berfikir dan menyusun strategi yang manakah yang paling utama dan yang kurang utama.


Sidang pembaca sekalian,
Untuk melaksanakan sesuatu tugas atau kerja amat perlu pada perancangan. Jika sesuatu tugas itu begitu berat dan luas skopnya, maka kita perlu membahagikan tugas itu kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil supaya tugas tersebut menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan. 

                            

      Sudah menjadi sunnatullah sesuatu kejadian itu bermula dari sesuatu yang kecil dahulu yang kemudiannya menjadi besar. Lihat saja api yang membakar. Bagaimana api boleh membakar benda yang besar tanpa membakar dahulu bahan bakar yang kecil. Lihat juga kejadian manusia, bagaimana manusia menjadi dewasa tanpa dimulai dengan peringkat bayi dan kanak-kanak dahulu. Bagaimana pula manusia boleh berjalan dengan langkahan yang besar tanpa dimulai dengan bertatih-tatih dahulu. Jadi, begitu juga dengan kita, pastilah kita perlu melaksanakan perkara-perkara yang kecil dahulu yang kemudiannya akan menghasilkan satu perkara yang besar dan hebat. 


Sahabat pembaca sekalian, usah kita lupa bahawa kebaikan tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan. Jadi, usah lupa untuk merancang ya :)
Sekian saja untuk kali ini, kita bertemu lagi di entri akan datang.

Sunday, July 15, 2012

Letakkan dunia di tanganmu



Dunia adalah kesenangan yang menipu

Assalamualaikum salam sejahtera kepada semua sidang pembaca sekalian. Semoga anda dalam keadaan sihat wal afiat. Jika anda kurang sihat saya doakan Syafakallah,semoga Allah menyembuhkan penyakit anda.  Ingin saya melontarkan persoalan pada entri kali ini, pernahkah anda menghadapi keadaan di mana anda dibentangkan kemewahan dunia dan seisi-isinya? Anda memiliki wang yang banyak, makanan yang lazat-lazat, tempat tidur yang empuk, kenderaan yang hebat, pasangan yang cantik atau segak bergaya, anak-anak yang comel dan bijak serta lain-lain kesenangan?

Bagaimana anda ketika itu???

Sahabatku, seharusnya, apabila dibentangkan dunia di hadapan kita, kita kembalikan rasa memiliki itu kepada pemilik yang Agung dan seringkali mengingatkan diri kita bahawa apa yang kita ada hanyalah pinjaman sementara termasuk diri kita sendiri. Sampai waktu dan ketikanya apa yang kita ada perlu dipulangkan kembali kepada Allah s.w.t. 


Perlu sentiasa sedar bahawa hidup kita di dunia ini sementara sifatnya. Di dunia inilah tempat kita menyediakan amal buat bekal menghadapi kesukaran hari akhirat kelak. Jadi, ayuh kita cuba menjadikan kesenangan dunia yang berada di tangan kita, ditransformasikan menjadi pahala. Misalnya, duit yang kita ada, kita didik diri kita untuk bersedekah atau beramal jariah. Jika kita memiliki makanan, kita didik diri kita untuk memberi kepada jiran-jiran dalam rangka merapatkan silaturrahim. Mungkin juga kita memiliki anak-anak yang comel, kita didik diri kita memberi pendidikan yang baik dalam rangka memperkenalkan mereka pada keindahan Islam. Kesemua amal kebaikan ini menjadi saham kepada kita untuk mendekat kepada syurga dan menjauh dari bakaran api neraka. 

Dunia bukan letaknya di hati

Sahabat sidang pembaca sekalian,
Awaslah dari dunia, kelihatan indah di mata namun di dalamnya penuh dengan tipudaya dan muslihat. Jika kita mengejarnya, kita tidak akan pernah berasa cukup dengan apa yang kita sedia miliki. Ambillah dunia sekadarnya dan kejarlah akhirat. Firman Allah di dalam surah al-Qasas ayat 77:

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.

Berpada-padalah dengan dunia agar diri kita menjadi orang yang beruntung. Letakkanlah dunia di tangan bukan di hati. Apabila tiba waktu untuk menunaikan solat, bersegeralah mendirikan solat, usah biarkan diri kita terbuai dengan kesibukan dunia. Samada disibukkan oleh kerja mencari nafkah, menonton televisyen, membeli belah atau bergurau senda dengan keluarga, kita tinggalkan sebentar untuk mendirikan solat. Apabila berpeluang untuk melakukan kebaikan, bersegeralah lakukannya kerana biasanya peluang melakukan kebaikan tidak sentiasa hadir dalam hidup kita. Sahabatku, jangan tunggu lagi, mari kita orak langkah sekarang membuat perubahan dalam diri kita !!! Mesti mau cuba ya :)


Yang Sentiasa Mengingati,
~Sehijauwarnadaun~







Wednesday, May 30, 2012

Tatkala Engkau Berasa Lemah..


Dialah yang Maha Berkuasa


Tatkala engkau berasa lemah, tiada bersemangat lagi dan hampir berputus asa kemanakah kau lepaskan perasaanmu itu?? Hidup terasa tidak bererti, tidak sanggup untuk melangkah, hidup terasa gelap dan tidak ketahuan arah dan tuju, bagaimanakah engkau menanggung perasaan itu wahai saudaraku?? Mungkin saja perasaan itu hadir kerana gagal dalam peperiksaan atau berlaku krisis dengan orang yang kita kasih atau boleh jadi juga kerana masalah yang datang menimbun-nimbun sehingga memberatkan pemikiran kita.. Kesemua ini membuatkan kita berasa lemah dan tertekan yang akhirnya menyebabkan kita berasa berputus asa dan buntu.


Saudaraku, 
Boleh jadi apa yang kita sukai tidak baik untuk kita, dan boleh jadi juga apa yang kita tidak sukai baik untuk kita. Tatkala ini, gantungkanlah perasaan lemahmu itu kepada satu kuasa yang Maha berkuasa, gantungkanlah perasaan ketidakmampuanmu itu kepada satu kuasa yang Maha Agung yang Maha Mengetahui setiap perkara yang tersembunyi di dalam hati. Dialah Allah s.w.t. yang Maha sempurna dari sifat-sifat kekurangan. Penyerahan yang ikhlas akan membantu menyembuhkan semula retak di hatimu itu kerana dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Kerana Dialah pembuka jalan bagi segala kebuntuan dan kelemahan hamba. Oleh itu, hapuskanlah air matamu, redha dan teruskanlah usahamu. Moga-moga dengan redha dan tawakal yang tinggi kepadaNya menjadikan kau seorang yang kuat keyakinan dan tabah menjalani hari-hari yang mendatang.


Sekian, bertemu lagi di slot akan datang..


Yang sentiasa mengingati,
~Sehijauwarnadaun~

Sunday, April 22, 2012

Orang yang beriman nampak tujuan dan jalan yang akan ditempuh

Orang beriman terarah kehidupannya


Orang yang tidak beriman, dalam perjalanan hidupnya tidak nampak tujuan yang terang dan sentiasa ragu - ragu di setiap persimpangan jalan. Kadang - kadang dia tertarik ke kanan dan kadang - kadang terperosok ke kiri. Dalam jiwanya selalu timbul penentangan - penentangan dan perbezaan - perbezaan yang sukarnya baginya untuk memilih; antara mempertahankan diri dan golongan, kepentingan bersama dan masyarakat, keadilan dan kebenaran. Suatu ketika dia hedak mecari kesenangan, keinginan dan kesukaan orang ramai, tetapi orang ramai itu tidak sama keinginannya dan pendapatnya. Maka untuk memenuhi keinginan semuanya, nyata tidak boleh dicapai.

Cerita tentang orang tua dengan anaknya dan keldainya, cukup untuk jadi pemandangan tentang sukarnya memenuhi keinginan orang ramai. Pada mulanya, orang tua itu yang menunggang keldainya, sedang anaknya berjalan kaki di belakang. Lalu orang tua itu yang menunggang keldainya, sedang anaknya berjalan kaki di belakang. Lalu orang tua itu dicela ramai - ramai oleh kaum wanita, dikatakan tidak kasihan kepada anaknya. Lalu ditukar, anaknya yang menunggang keldai dan orang tua itu berjalan kaki. Lalu anak dicela ramai - ramai oleh kaum lelaki, dikatakan anak tidak hormat kepada ayahnya. Ditukar pula, orang tua dan anak sama - sama menunggang keldai. Lalu orang - orang yang kasihan kepada binatang, ramai - ramai pula mencela keduanya. Akhirnya, keduanya sama - sama berjalan kaki, dan keldainya berjalan di hadapan mereka. Lalu kanak - kanak ramai - ramai mencela keduanya. 

Orang beriman dapat membebaskan dirinya dari semua kebimbangan ini, iaitu dengan menuju keredhaan Allah. Untuk ini, dia tidak peduli; apakah orang ramai senang atau tidak. Yang menjadi cita - citanya hanya satu iaitu menempuh jalan yang dapat menghantarkannya kepada keredaan Allah. Itulah yang dimintanya berulang - ulang  kepada Allah dalam setiap sembahyang: " Pimpinlah kami menempuh jalan yang lurus! Jalan ini disebutkan dalam al - Quran surah al - An'am ayat 153. 

(Dipetik dari buku Iman dan Kehidupan karangan Dr. Yusuf Qaradawi terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Wednesday, March 21, 2012

Erti bahagia


Bahagia yang sebenar bukan terletak pada banyaknya harta

Setiap insan pasti mengimpikan bahagia hadir dalam kehidupan. Ada manusia menganggap bahagia itu duduknya pada banyaknya harta, ada juga menganggap bahagia itu duduk pada ramainya rakan dan taulan, ada juga yang menganggap bahawa bahagia itu letaknya pada tingginya kedudukan dan pangkat. 

Semua itu hanyalah bersifat sementara belaka. Semuanya datang dan silih berganti dari kehidupan kita. Tidak selamanya kekal di samping kita. Adakala menjadikan kita gelisah dengannya, tidak berasa bahagia sentiasa. 

Ada satu elemen penting yang boleh menjadikan manusia kekal bahagia. Itulah dia apa yang dinamakan sebagai 'Iman'. 'Iman' menjadikan seseorang yang hina menjadi mulia, orang yang derita menjadi bahagia, orang yang miskin menjadi kaya. Bagaimana? Apabila dia merasa cukup dengan segala nikmat kurniaan Allah kepadanya. Begitulah hebatnya kuasa 'iman'. Menjadikan manusia sentiasa penuh mengharap pada Allah, tidak sekali berputus asa kerana dia tahu Allah mendengar setiap doa dan rintihan hatinya. Menjadikan manusia kuat dan tabah menghadapi hidup walau bagaimana susah sekalipun ujian yang melanda. Manusia tetap kekal bahagia dengan 'iman'. 

Jadi, mari kita koreksi 'iman' kita bersama - sama, apakah 'iman' yang kita ada benar - benar menjadikan kita insan yang bahagia. Jika tidak, tentu ada 
kelompongan di mana - mana.

Friday, March 2, 2012

Kematian adalah sesuatu yang dekat dengan kita

Kematian itu datang secara tidak disangka - sangka

Pernahkah kita bertanya kepada diri kita selama mana lagikah kita akan hidup di muka bumi ini? Pernahkah kita bertanya, sudah banyakkah kebaikan dan amal ibadah kita lakukan? Pejam celik pejam celik umur kita bertambah. Bermula dari bayi kecil memiliki tapak kaki dua jari, kanak - kanak, menjadi pemuda, dewasa, kemudiannya tua akhirnya kembali kepada Allah. Itulah sifir kehidupan. Jangan sekali kita melupakannya. Sesiapa sahaja akan melaluinya kerana Allah mengatakan didalam al - Quran maksudnya, setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Persoalannya, apakah bekalan kita untuk melalui hari itu? Ayuh kita orakkan langkah bersama - sama mendekatkan diri kepada Allah. 


Pelbagai wasilah boleh kita gunakan untuk mendekatkan diri dengan Allah samada dengan kita bangun mendirikan solat, membaca al-Quran  dan memikirkan kebesaran Allah atau kita meniatkan segala perbuatan kita pada hari ini dengan niat beribadah kepada Allah. Mengapa? Kerana Islam itu  mudah yang mana bukanlah ibadah itu sekadar terbatas di tikar sejadah sahaja. Bahkan lebih luas dari itu skopnya. Justeru, bersamalah kita mengkoreksi diri kita.

Monday, February 20, 2012

Sudahkah kita mensyukuri?

Segala yang kita miliki adalah pinjaman dari Allah semata
Dalam hidup kita kadangkala disinggahi kegagalan dan seringkali juga disinggahi kejayaan. Bila kita gagal, kita rajin untuk mengadukan kesedihan hati kita pada Allah, kita rajin untuk menghadirkan diri kita berlutut dihadapan Allah, tapi bila kita berjaya, apakah kita melakukan perkara yang sama? Adakah kita bersyukur diatas kejayaan yang diberikanNya? Bila orang bertanya, apakah yang menyumbang kepada kejayaanmu? Maka sering kita dengar, saya berjaya atas usaha saya  sendiri, ada juga kita dengar, semua ni dorongan ibu bapa saya. Tapi, jarang-jarang kita dengar jawapan, dengan izin Allah saya berjaya.

Sidang pembaca sekalian, 
marilah sama-sama kita menginsafi bahawa kegagalan mahupun kejayaan adalah warna warni dalam kehidupan kita. Segalanya adalah wasilah yang Allah jadikan untuk kita buat menguji hamba-hambaNya. Samada dalam bentuk kesukaran atau kesenangan. Justeru, ayuh berwaspadalah agar kita menjadi hamba yang dekat dengan Allah serta mensyukuri segala nikmatnya.